Bagaimana Untuk Kenal Pasti Scam?

kenal pasti scam

Salah satu sebab mengapa ramai orang terjerumus dalam scam adalah kerana mereka tidak dapat kenal pasti scam.

Oleh sebab ilmu kewangan dan pelaburan mereka cetek (atau kadangkala tak wujud langsung), ramai orang tidak dapat mengenal pasti pelaburan mana yang bagus, mana yang biasa dan mana yang scam. Ramai juga yang ‘melabur’ kerana terpesona akan ayat-ayat indah yang diutarakan oleh pengusaha-pengusaha scam!

Sebenarnya, ianya tidaklah susah untuk mengenal pasti scam. Berikut adalah beberapa petunjuk-petunjuknya.

Pertamanya, periksa di laman web Bank Negara (BNM) – List of Licensed Financial Institutions. Jika nama syarikat tersebut tidak ada dalam senarai BNM, ia tidak mempunyai lesen dan juga kebenaran untuk menawarkan produk kewangan di Malaysia. Ini bermakna syarikat tersebut telah melanggar undang-undang Negara, oleh itu risiko untuk melabur dalamnya amat tinggi. Jika skim pelaburan itu gagal, besar kemungkinan yang semua wang pelabur akan terus lesap.

Keduanya, lihat pulangan pelaburan (ROI) yang diberikan oleh skim tersebut. Walaupun kita semua sememangnya mahukan ROI yang tinggi, pulangan itu mestilah angka yang munasabah dan masuk akal. Jika pelabur-pelabur world class seperti Warren Buffett dan George Soros pun memberi pulangan ‘hanya’ 20 peratus hingga 34 peratus setahun, adakah munasabah dan masuk akal orang yang tidak pernah dikenali dapat memberikan pulangan yang sebegitu tinggi? Saya boleh sahkan yang ianya sukar untuk mendapat pulangan yang melebihi 15 peratus setahun secara konsisten di Malaysia (dan juga di seluruh dunia). Jadi mana-mana skim yangmemberikan pulangan melebihi 15 peratus setahun adalah amat mencurigakan.

Sebagai contoh, scam Swisscash memberikan pulangan 20 peratus sebulan (240 peratus setahun)! Walaupun ROInya amat menarik, sudah tentu ada yang tidak kena dengan pulangan yang tinggi mengunung itu. Ini adalah seperti pasukan bolasepak Kampung Seri Wangi mengalahkan pasukan Barcelona 10 – 0!

Ketiga, jika pulangannya diberikan begitu tinggi dan menarik, sudah tentu semuamedia massa di Malaysia dan di dunia termasuk CNN, Fortune dan Forbes akanmemberi liputan yang menyeluruh kepada pengurus dana tersebut. Takkanlah media massa dunia (yang tahu semua pelaburan lain) begitu buta dan tidak pernah mendengar pulangan yang sebegitu hebat? Jadi jika tidak ada liputan oleh media massa (bukan saja dalam Facebook dan YouTube!), maka sekali lagi skim itu amat mencurigakan.

Jika pelaburan tersebut memberikan pulangan bulanan/mingguan/harian, maka besar kemungkinan ianya adalah scam kerana 99 peratus daripada ‘pelaburan’ yang memberikan pulangan bulanan/mingguan/harian adalah scam.

Keempat, jika ianya satu pelaburan, dana itu perlu mempunyai prospektus danlaporan tahunan. Maklumat-maklumat seperti objektif dana, sejarahnya, pulangannya, risikonya, kegunaan wang yang dikutip, nama pengurus, kelayakan pengurus dan pengalaman pengurus mestilah ada dalam dokumen-dokumen tadi, dan bukan main sebut mulut sahaja. Maklumat-maklumat ini adalah penting untuk kita membuat analisis dan penyelidikan tentang skim tersebut.

Kelima, dana itu juga perlu mempunyai auditor dan trustee. Nama mereka, pengalaman serta kelayakan mereka mesti dijelaskan dengan terang dan bukan main sebut nama saja. Kedua-dua entiti ini adalah kritikal kerana tanpa mereka, tidak ada siapa yang memantau dana yang dikutip. Ini adalah situasi yang amat membahayakan untuk pelabur. Si pengurus boleh melakukan apa saja dengan wang yang dikutip – beli kereta baru, melancong ke Tokyo, kahwin lagi satu!

Keenam, sudah tentu nama syarikat dan pelaburan tersebut tidak boleh ada dalamsenarai hitam BNM dan/atau Suruhanjaya Sekuriti. Jika ada, lupakan saja ‘pelaburan’ tersebut.

Jangan lupa juga yang kebanyakan scam ini telah menukar nama syarikat, nama’pelaburan’ atau alamat laman web (url) mereka untuk menutup langkah-langkahgelap mereka. Sebagai contoh, scam UFun kini ditukar nama menjadi Unascos. Jadi kalau si pengurus dan kuncu-kuncunya masih orang yang sama, lupakan juga’pelaburan’ tersebut.

Ketujuh, untuk pengetahuan anda, syarikat Sdn Bhd sebarangan tidak boleh mengutip wang pelabur tanpa lesen dan kebenaran daripada BNM. Hanya bank, syarikat unit amanah, syarikat insurans, pengendali takaful dan penyedia perkhidmatan pengiriman wang yang boleh bertindak demikian. Ini bermakna ‘pelaburan’ seperti UFun/UToken, Unascos, Mecca Fund dan HighwayGroup Resources (HGR) telah menyalahi undang-undang Malaysia.

Syarikat Sdn Bhd juga tidak boleh menawarkan atau menjual sahamnya kepadaorang ramai. (Hanya syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dibenarkanmenjual saham kepada orang ramai.) Jadi mana-mana syarikat (sama ada baruditubuhkan atau sudah wujud) yang menawarkan atau menjual sahamnya kepadaorang ramai – melalui ceramah, seminar, Facebook atau emel – telah menyalahiundang-undang Malaysia.

Kelapan, jika ianya peluang perniagaan MLM (boleh rekrut downline) pula, syarikat tersebut perlu ada lesen jualan langsung. Kalau lesen itu tidak ada, syarikat tersebut telah menyalahi undang-undang Malaysia. Kesembilan, jangan juga lupa yang mana-mana pelaburan yang memberikan pulangan tetap seperti Fixed Deposit adalah haram dalam Islam. Ini bermakna banyak skim yang tengah panas sekarang termasuk HGR adalah haram.

Seperti yang anda boleh lihat, kebanyakan ‘pelaburan’ yang disebut orang melalui Facebook, Internet dan emel tidak mempunyai dokumen-dokumen yang saya tulis di atas! Dan oleh sebab itu, besar kemungkinan ianya pelaburan yang tidak betul atau sah. Ini bermakna risiko untuk ‘pelabur’ dalam skim-skim tersebut adalah tinggi dan peluang untuk mereka menanggung kerugian adalah teramat tinggi – kira tahap dewalah!

Sudah tentu pengusaha-pengusaha scam akan memberikan pelbagai alasan mengapa skim mereka unik, betul dan sah. Mereka akan berkata macam-macam, menjanjikan bulan dan bintang malah membohong, menipu dan tidak akan teragak-agak untuk menggunakan ayat-ayat agama untuk menarik hati dan wang pelabur. Tetapi apa juga yang pengusaha-pengusaha janjikan, jika skim tersebut tidak mempunyai poin-poin yang saya nyatakan sebut di atas, besar kemungkinan ianya adalah scam.

Apa yang boleh membuatkan orang ramai keliru dengan skim-skim terkini adalah kerana pengusaha-pengusahanya sering menggunakan pelaburan atau perniagaan yang sah sebagai topeng. Sebagai contoh, Genneva, Pegasus Bullion dan Emas ETA menggunakan emas sebagai topeng (dan penarik). UFun menggunakan digital currency sebagai topengnya sementara Mecca Fund menggunakan bisnes hotel di Mekah sebagai topeng dan penarik. Sebenarnya, pelaburan dan/atau bisnes tersebut tidak wujud atau wujud hanya sebagai token sahaja dalam kebanyakan scam sebegini. Dalam kata lain, semua itu adalah topeng yang digunakan untuk menutup usaha scam mereka.

Apabila kita bertanya tentang dokumen atau lesen tertentu, satu ayat yang mungkin pengusaha-pengusaha scam gunakan ialah: “Permohonan telah dibuat dan hanya menunggu kelulusan”. Ayat ini tidak boleh dipakai kerana selagi kelulusan bertulis tidak diterima, mereka tidak boleh beroperasi. Sebagai contoh, scam HGR mengaku mereka telah menubuhkan koperasi dengan nama Koperasi Persatuan Bersatu Berhad atau KPBB untuk menghalalkan scam mereka. Realitinya, HGR belum mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi (dan sudah pasti tidak akan mendapat kelulusan tersebut). Tetapi ahli koperasi serta wang pelabur sudah dikutip! Langkah ini adalah menyalahi undang-undang.

Salah satu ayat yang sering digunakan oleh pengusaha-pengusaha scam untuk menarik perhatian pelabur skim ialah berkata sudah ramai VIP (termasuk isteri-isteri menteri dan kerabat diraja), artis-artis, doktor itu dan profesor telah menyertai skim mereka. Boleh dikatakan semua pengusaha-pengusaha scam menggunakan ayat ini kerana ianya begitu menggiurkan!

Lagi satu ayat ialah mereka sudah bertemu dengan CEO skim tersebut dan boleh mengesahkan yang CEO itu adalah seorang yang jujur, baik hati dan tidak akan menipu sesiapa. Jika CEO itu orang Melayu, maka ayat, “Takkanlah dia nak tipu orang Melayu pula?” akan diulang berkali-kali. Sudah tentu juga akan ada pengusaha-pengusaha scam yang membuat

CSR untuk menampakkan kebaikan dan kejujuran mereka. Ini termasuklah memberi derma kepada anak-anak yatim dan mereka yang ditimpa kecelakaan. Langkah sebegini telah dilakukan oleh scam YSLM, UFun dan juga Tok Belagak (pengusaha skim Emas ETA). Sebenarnya, pengusaha-pengusaha scam ini tidak rugi apa-apa apabila memberikan derma tersebut sebab wang itu bukan wang mereka! Wang itu adalah sebahagian daripada wang yang dikutip daripada ‘pelabur’!

Jadi janganlah tertipu akan ayat-ayat dan usaha-usaha serong mereka ini kerana semua itu adalah tirai untuk menutup usaha serong mereka.

Akhir kata, mengapa nak bermain api melabur dalam skim-skim yang pelik-pelik ini? Terdapat ratusan dana unit amanah yang betul dan betul di Malaysia, ratusan saham di Bursa Malaysia, pilihan emas yang banyak dan ratusan ribu hartanah untuk kita buat pelaburan. Mengapa tidak pilih yang sah dan terbukti ini?

Walaupun kita mungkin tidak akan menjadi superjutawan jika melabur dalam pelaburan yang sah dan betul tetapi pulangannya lebih daripada cukup untuk menolong kita membina kehidupan yang lebih baik dan selesa untuk diri dan keluarga. Lebih utamanya ialah kita tidak tertipu dan diperbodohkan oleh pengusaha-pengusaha scam.

Mungkin anda boleh mula berniaga dan jika anda berminat untuk berniaga di Facebook? Admin nak kongsi satu case study PERCUMA “Bagaimana 1 Iklan Simple Boleh Meletupkan Jualan Sehingga 7 Angka Dalam 7 Bulan”. Jika berminat untuk download PERCUMA klik DISINI.

Speak Your Mind

*