Hilangkan Gemuruh Ketika Temuduga

gemuruh ketika temuduga

Ada beberapa cara hilangkan gemuruh ketika temuduga. Perasaan gemuruh ini adalah perkara biasa yang bakal dihadapi oleh individu yang menghadiri temuduga. Ia akan berlaku pada mereka yang biasa hadiri temuduga apatah lagi kepada yang pertama kali.

Harapan saya dengan perkongsian ini akan dapat, jika tidak semua tetapi, sekurang-kurangnya meringankan perasan gemuruh tersebut.

Anda perlu tahu bagaimana untuk atasi perasaan gemuruh yang datang secara tiba-tiba ini. Selalunya mereka yang tidak mengetahui nak urus perasaan ini akan menyebabkan individu itu hilang rasa semangat dan paling teruk boleh “blank” apabila sesi temuduga berlangsung .

Kerana kita sentiasa memikirkan banyak perkara apa yang akan berlaku ketika temuduga. Terlalu “overthinking” menyebabkan perasaan gemuruh boleh menjadi-jadi.

Ini merupakan 5 cara hilangkan gemuruh ketika temuduga.

1) Kenali diri anda dengan jelas

Apa yang dimaksudkan ialah, sebelum anda pergi menghadiri temuduga pastikan anda kenali diri anda terlebih dahulu. Tahu kekuatan dan kelemahan diri anda dan akui perkara tersebut. Kemudian anda tentukan mengapa anda ingin bekerja di tempat itu. Adakah anda sesuai dengan jawatan yang ditawarkan berdasarkan kepada kelulusan, pengalaman dan pengetahuan yang anda ada. Tujuannya adalah untuk memastikan anda adalah individu yang paling sesuai untuk jawatan tersebut. Berdasarkan kepada pengetahuan dan pengalaman, anda akan menjadi asset penting kepada mereka. Apabila anda jelas mengenai beberapa perkara ini, akan membuatkan anda lebih fokus dan menyerlah ketika ditemuduga.

2) Percaya pada diri anda sendiri

Langkah pertama anda telah mengetahui diri anda sendiri. Sudah tahu apa kekuatan dan kelemahan diri anda. Anda juga telah buat kajian tentang jawatan yang anda mohon. Dan mengetahui kunci kemahiran atau pengalaman anda yang paling baik untuk memastikan anda adalah orang yang paling sesuai untuk jawatan berkenaan. Kesan daripada menyedari perkara ini akan membuatkan anda bertambah yakin semasa sesi temuduga. Sekarang apa yang perlu buat adalah anda bertenang dan percaya pada diri anda!

3) “Mock-up Interview”

Pastikan anda selesa dengan suasana temuduga. Ia sangat penting bagi mengelakkan anda berasa gugup dan cemas pada hari sebenar temuduga. Adakan sesi “mockup interview” untuk anda merasainya sendiri. Anda boleh lakukanya bersama pensyarah, teman rapat ataupun keluarga anda sendiri. Pada sesi “mockup” ini secara tidak langsung anda akan dapat melihat sedikit demi sedikit dimana kelamahan anda untuk anda perbetulkannya. Ianya sangat penting demi persediaan yang rapi.

4) Ia bukan situasi lulus atau tidak

Tidak dinafikan bahawa tujuan utama hadir ke temuduga supaya anda diberi peluang untuk bekerja seperti yang ditawarkan. Tapi anda kena faham ia bukan satu situasi untuk meletakkan atau melabelkan anda sebagai seorang yang berjaya atau gagal. Pengambilan sesuatu kerja ini merupakan satu perkara yang subjektif. Anda tidak mengetahui dengan siapa yang akan anda berjumpa, bagaimana jangkaan di luar kriteria yang bakal majikan anda mahukan, dan anda tidak tahu situasi yang bakal anda hadapi yang boleh menpengaruhi kepada keputusan mereka. Ini merupakan perkara-perkara yang diluar kawalan anda. Apa yang perlu anda fokus dan tekankan adalah “do your best!”. Tunjukkan anda seseorang yang benar layak itu mendapat jawatan berkenaan, jika keputusannya tidak menyebelahi anda, ia bukan bermakna anda seorang yang gagal. Mungkin skill yang anda mahir itu lebih sesuai di tempat lain ataupun sesi temuduga itu boleh menjadi sebagai satu persedian anda pada untuk next interview.

5) Perbandingan yang merbahaya

Apabila anda berada pada sesi temuduga, pastinya akan ada beberapa individu yang lain yang akan bersaing dengan anda. Teruskan buat hubungan dengan mereka dan jangan sesekali bertanya mengenai pengalaman kerja, pelajaran ataupun perkara yang boleh membuatkan anda “mental down”. Yang paling penting jangan sesekali meletakkan tekanan kepada diri anda untuk membuat perbandingan di antara anda dan calon yang lain. Ini kerana masing-masing mempunyai keistimewaan yang berbeza yang tidak boleh untuk dibuat perbandingan. Anda hanya perlu fokus kepada apa yang perlu anda sampaikan sahaja.

Akhir sekali, selalu melakukan senaman tarik dan hembus nafas untuk menenangkan diri anda. Dan sudah tiba masanya untuk anda tunjukkan kepada mereka apa yang anda ada. Semoga perkongsian cara hilangkan gemuruh ketika temuduga ini dapat membantu anda pada masa hadapan.

Speak Your Mind

*